Nusaibah Binti Ka’ab Al-Ansariyyah
Sesungguhnya Nusaibah Binti Ka’ab
Al-Ansariyyah atau lebih dikenali dengan nama Ummu Umarah adalah merupakan
salah satu contoh seorang muslimah yang mempunyai keberanian yang kukuh pada
setiap saat dan ketika. Dia merupakan pahlawan wanita yang tidak pernah alpa
dalam melaksanakan kewajipannya. Semua perkara yang dilakukan itu adalah untuk
memperoleh kemuliaan di sisi Allah S.W.T. di dunia dan akhirat. Dia juga
merupakan seorang sahabat wanita yang agung.
Nusaibah adalah salah seorang wanita
yang telah turut serta bergabung dengan 70 orang lelaki Ansar yang ingin berbai’at
kepada Rasulullah S.A.W. Dalam bai’at Aqabah yang kedua itu, dia bersama dengan
suaminya Zaid Bin Ahsim dan dua orang puteranya Hubaib (yang telah dibunuh oleh
Musailamah setelah itu) dan Abdullah (perawi hadith wuduk) telah membuat janji
setia kepada Rasulullah S.A.W. Sedangkan wanita yang seorang lagi adalah
saudaranya. Ummu Umarah merupakan seorang wanita yang berani, pandai menjaga
harga diri, jujur dan rajin. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah sendiri
ketika dia membuat bai’at. Baginda bersabda maksudnya : ” Janganlah mengalirkan
darah dengan sia-sia.”
Ummu Umarah Pahlawan Wanita Ansar
Ibnu Sa’ad telah memberikan gambaran
indah mengenai Ummu Umarah di dalam kitabnya Thabaqat yang berbunyi seperti
berikut : ” Ummu Umarah telah masuk Islam, dia telah menghadiri malam
perjanjian Aqabah dan berbai’at kepada Rasulullah S.A.W. Dia juga turut serta
dalam Perang Uhud, Perjanjian Hudaibiyah, Umrah Qadha’, Perang Hunain, Perang
Yamamah di mana tangannya terpotong, serta pendengar hadith Rasulullah S.A.W “.
Nusaibah atau Ummu Umarah
menceritakan sendiri pengalamannya ketika perang Uhud. Sebagaimana diungkapkan
oleh Ibnu Sa’ad katanya : ” Pada permulaan siang, saya pergi ke Uhud dan saya
melihat apa yang dilakukan orang. Pada waktu itu saya membawa tempat yang
berisi air. Kemudian saya sampai kepada Rasulullah S.A.W. yang berada di
tengah-tengah para sahabat. Ketika kaum muslimin mengalami kekalahan, saya
melindungi Rasulullah S.A.W, kemudian ikut serta ke medan pertempuran. Saya
berusaha melindungi Rasulullah S.A.W. dengan pedang, saya juga menggunakan
panah sehingga akhirnya saya terluka.”
Ketika Said bin Ibnu Rabi menanyakan
kepadanya luka yang dilihat dibelakangnya, bagaimana kisahnya sehingga terjadi
demikian. Ummu Umarah lalu menjawab, ” Ibnu Qumaiah datang ingin menyerang
baginda, ketika para sahabat sudah meninggalkan Rasulullah S.A.W. Lalu ia
berkata, ” Tunjukkan aku di mana Muhammad, aku tidak akan selamat selagi dia
masih hidup,” lalu Mushab bin Umair dengan beberapa orang sahabat termasuk saya
menghadapinya. Kemudian Ibnu Qumaiah memukulku.
Imam Az-Azahabi berkata, ” Dia
adalah wanita yang utama dan pejuang dari kalangan Ansar, Khazraj, Najjar,
Mazin dan sebagai orang Madinah. Saudaranya Abdullah bin Ka’ab termasuk
kelompok para sahabat yang ikut dalam perang Badar. Begitu juga saudaranya
Abdul Rahman termasuk orang yang suka menangis.”
Al-Waqidi berkata : ” Ummu Umarah
ikut serta dalam perang Uhud bersama-sama dua orang anaknya dari suaminya yang
pertama. Ia keluar untuk memberi minum dengan membawa qirbah atau tempat air
yang buruk. Ia juga ikut berperang dan mendapat cubaan yang baik sehingga
mendapat dua belas kesan luka ditubuhnya “.
Imam Az-Azahabi meriwayatkan darinya
bahawa dia berkata : ” Saya mendengar Rasulullah berkata : Sesungguhnya kedudukan
Nusaibah pada hari ini lebih baik dari kedudukan fulan dan fulan.”
Rasulullah S.A.W. Mendoakan Ummu
Umarah dan Anaknya
Imam Az-Azahabi dari Abdullah bin
Zaid bin Ahsim ia berkata : ” Saya mengikuti perang Uhud, maka ketika para
sahabat meninggalkan Rasulullah S.A.W., saya dan ibu saya mendekati baginda
untuk melindunginya : ” Mana Ummu Umarah?” Saya menjawab, ” Ya, wahai
Rasulullah, ” Baginda bersabda : ” Lemparkanlah. ” Saya pun melemparkan sebiji
batu kepada yang sedang menunggang kuda di hadapan mereka. Akhirnya batu itu
mengenai mata kuda. Kemudian saya tindih orang itu dengan batu dan Rasulullah
melihatnya sambil tersenyum.
Baginda juga telah melihat luka
ibuku di belakangnya, baginda bersabda, ” Ibumu, ibumu…balutlah lukanya. Ya
Allah, jadikanlah mereka sahabat saya di syurga “. Mendengar itu ibuku berkata
: ” Aku tidak hirau lagi apa yang menimpaku dari urusan dunia ini “.
Demikianlah keberanian yang terlihat
dalam diri Ummu Umarah yang telah mengibarkan panji-panji Islam. Dia berusaha
sekuat dayanya untuk melindungi dan membela Rasulullah S.A.W. Ummu Umarah telah
berjuang dan terluka dalam perang Uhud sebanyak 12 tempat di tubuhnya dan
kemudiannya kembali ke Madinah dengan luka-luka perjuangan tersebut. Kemudian
dia turut serta bersama Rasulullah S.A.W. untuk menunaikan Bai’atur Ridhwan,
satu janji setia untuk sanggup mati syahid di jalan Allah S.W.T.
Mudah-mudahan Allah S.W.T.
mengurniakan limpah rahmat kepada Ummu Umarah dengan rahmat yang luas dan
menyambutnya dengan keredhaanNya yang agung
dikutip dari
http://ammar87.wordpress.com/2007/08/16/nusaibah-binti-kaab-al-ansariyyah/
No comments:
Post a Comment